27 September 2012

"JANJI DITEPATI" BN yakin rampas semula Parlimen Beruas, DUN Pantai Remis


Timbalan Presiden Gerakan yang juga Penasihat Khas Menteri Besar, Datuk Chang Ko Youn yakin, Barisan Nasional (BN) akan merampas semula kerusi Parlimen Beruas dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sitiawan yang dimenangi DAP serta mempertahankan DUN Pengkalan Baharu pada Pilihanraya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.

Menurutnya, keyakinan tersebut berdasarkan kepada sambutan pengundi di kawasan tersebut yang kini mula menunjukkan sokongan secara terbuka terhadap BN sejak kebelakangan ini.

”Pada PRU lalu, pihak pembangkang khasnya DAP telah menabur pelbagai janji kepada pengundi di situ sehingga berjaya mempengaruhi mereka mengundi calon DAP.

”Bagaimanapun sebaik sahaja calon DAP yang diwakili Datuk Ngeh Koo Ham memenangi kerusi Parlimen Beruas dan Nga Kor Ming, di DUN Pantai Remis, mereka gagal menunaikan janji tersebut.

”Keadaan ini menyebabkan pengundi berasa tertipu dan bertindak memberi sokongan semula kepada BN,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengisytiharan Keluar Parti DAP di Pantai Remis, hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 20 ahli dan penyokong tegar DAP diketuai S. Ravee, 39, dari Taman Bintang, Pantai Remis mengumumkan untuk keluar parti berkuat-kuasa serta merta.

Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Bahagian Beruas yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Besar, Datuk Azhar Ahmad; Ketua Penerangan Kerajaan Negeri, Datuk Hamdi Abu Bakar dan Ketua Pemuda BN Bahagian Beruas, Ali Zainal Abidin.

Menurutnya, kemenangan pembangkang di kawasan Parlimen Beruas dan DUN Pantai Remis itu pada pilihanraya 2008 dicapai selepas DAP berjaya memanipulasi emosi pengundi untuk meraih sokongan.

“Walaupun DAP menang, janji mereka kepada rakyat tidak ditunaikan hingga membuatkan pengundi berasa tertipu.

“Sebaliknya, kita di pihak BN terus memberi khidmat kepada rakyat meskipun tewas dan saya yakin lebih ramai ahli dan penyokong DAP akan keluar parti selepas ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment