10 April 2014

POLITIK IBARAT "MENANGGUK DI AIR KERUH"

ARENA politik negara sentiasa sahaja diwarnai oleh permainan politik tidak berkesudahan oleh pakatan pembangkang. Tidak kira apa pun isu segalanya mahu dijadikan modal politik oleh mereka dengan hasrat untuk meraih sokongan rakyat.
Bermula sejak 2008, pakatan pembangkang begitu ghairah sekali untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN), menawan Putrajaya menjadi misi utama mereka. Atas sebab itulah, mereka tidak pernah berputus asa untuk terus menyakinkan rakyat kononnya merekalah pilihan terbaik bagi memerintah negara dan sudah pasti Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjadi sasaran seterusnya.

Sememangnya, tidak salah untuk pakatan pembangkang menyimpan cita-cita untuk memerintah negara ini kerana itulah politik, ia berkaitan soal kedudukan dan kekuasaan. Namun begitu dalam keghairahan dan keterujaan itu janganlah segalanya mahu dipolitikkan.
Begitulah juga apabila berlakunya beberapa kejadian melibatkan negara khususnya dalam peristiwa pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, penculikan warga China di Semporna dan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sejak 8 Mac lalu.

Kesemua isu ini tidak terlepas menjadi bahan politik kepada pakatan pembangkang. Politik ‘menangguk di air keruh’ dengan menjadikan peristiwa-peristiwa itu sebagai modal politik sebenarnya bukanlah menunjukkan keprihatinan pembangkang sebaliknya menampakkan wajah sebenar mereka dalam memburu kekuasaan.

Bagi pembangkang, apa sahaja yang boleh dipolitikkan akan dipolitikkan, sama ada ia memberi kebaikan atau keburukan kepada negara itu soal kedua. Apa yang penting imej kerajaan di bawah kepimpinan BN harus diburuk-burukkan seumpama mungkin dengan harapan ia akan menjejaskan sokongan majoriti rakyat kepada parti tersebut.
Ketika pakatan pembangkang begitu mendabik dada bercakap soal menegakkan kebenaran, mengwujudkan keadilan dan memperjuangkan kebebasan melalui demokrasi tetapi tindak tanduk mereka sendiri tidak memaparkan semangat itu.
Kalau mahu mengatakan mereka mampu memerintah jauh lebih daripada BN, ia hanyalah omong kosong, kalau mahu mendabik dada kononnya mereka lebih telus daripada kerajaan BN itu hanyalah pembohongan dan kalau mereka mahu berbangga menyatakan mereka memperjuangkan demokrasi ia hanyalah penipuan.
Sebenarnya, pakatan pembangkang sendiri mempunyai seribu satu keburukan tetapi ia berjaya ditutupi melalui politik alih isu dan menangguk di air keruh. Kepetahan bercakap, kepakaran memutar belit fakta dan kebijaksanaan mengwujudkan persepsi menjadi kelebihan kepada pembangkang untuk menutupi kepincangan politik mereka.


Kesudahannya, mereka semakin rancak menyerang kerajaan walaupun memahami dalam sesetengah isu mereka sepatutnya bersama kerajaan menanganinya atau sekurang-kurangnya bersedia memberikan pandangan yang membina.
Dalam isu kehilangan pesawat MH370 sejak hari pertama lagi, pakatan pembangkang menganggap ia kesempatan terbaik untuk dipolitikkan. Lidah rasmi mereka menyerang kerajaan habis-habisan melalui teori-teori yang cukup memualkan. Malah ada pula dalam kalangan pemimpin mereka bersedia membuat kenyataan yang dilihat berupaya memburukkan imej kerajaan negara ini.
Isu MH370 juga menjadi modal untuk menarik orang ramai ke ceramah-ceramah mereka dengan memaparkan tajuk sensasi seperti ‘penjelasan misteri MH370'. Tetapi sebenarnya tidak ada pun penjelasan, sebaliknya hanya dakwaan dan tuduhan kepada kerajaan semata-mata.
Ada dalam kalangan pemimpin pakatan pembangkang yang merasakan seolah-olah mereka jauh lebih bijak berbanding seluruh masyarakat dunia yang kini berusaha bermati-matian mencari dan merungkai misteri kehilangan pesawat tersebut.
Bagaimanapun kita bersyukur kerana setakat ini tiada mana-mana negara yang bersedia bersekongkol dengan pakatan pembangkang untuk memburuk-burukkan Malaysia dalam isu MH370 ini. Sebaliknya, 26 buah negara dengan sukarela tampil membantu Malaysia.
Pemimpin-pemimpin negara terlibat tidak mempedulikan kerenah politik pembangkang di Malaysia kerana apa yang lebih penting sekarang ialah mencari pesawat yang hilang tersebut. Mungkin pemimpin pembangkang boleh berbangga kerana ada media asing yang mahu bersekongkol dengan mereka bagi memburuk-burukkan kerajaan tetapi soalnya sejak bila pula media asing pernah membuat liputan baik mengenai Malaysia apabila timbul sesuatu isu?
Politik ‘menangguk di air keruh’ pembangkang ini juga berterusan apabila kerajaan mahu melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang Rang Undang-undang mengenai perkara itu sedang dibahaskan di Dewan Rakyat. Pakatan pembangkang cuba memberi pandangan negatif terhadap pelaksanaan cukai itu biar pun ia amat baik untuk masa depan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
Sebenarnya seperti mana ditegaskan oleh Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz ketika membahaskan rang undang-undang itu, pembangkang membantah GST kerana kesan positif daripada pelaksanaan sistem percukaian tersebut akan mengundang malapetaka politik kepada mereka.

Hujah Ikmal Hisham, pelaksanaan GST bukan sahaja mampu mengukuhkan ekonomi negara malah turut menyumbang kepada peningkatan taraf hidup rakyat.
"Pakatan pembangkang sebenarnya takut apabila ekonomi negara kukuh dan rakyat gembira dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan, ia akan menyebabkan mereka tiada lagi modal untuk memburuk-burukkan kerajaan sekali gus menghalang niat songsang mereka meraih sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti," kata Ikmal Hisham.
Hujah Ikmal Hisham tersebut memang tepat kerana pakatan pembangkang takut dengan apa juga perkara yang dilihat mampu menaikkan imej kerajaan BN. Atas alasan inilah jika apa juga perkara baik yang hendak dilakukan oleh kerajaan BN akan dipolitikkan dan diberikan gambaran negatif.
Bukan kata dalam soal pengurusan politik dan negara malah dalam bidang agama juga mereka bimbang, kalau BN khususnya UMNO menonjol dalam soal mengembangkan syiar Islam.

Sebab itulah, program selawat perdana yang dianjurkan oleh kerajaan BN dan UMNO di seluruh negara diperlekehkan dengan pelbagai hujah. Mereka bimbang kalau UMNO menonjol dalam melaksanakan aktiviti Islam, apa modal politik mereka untuk meraih sokongan orang Islam? Bagaimana mereka hendak meneruskan agenda menuduh UMNO menolak Islam?

Bagaimanapun biarlah pakatan pembangkang dengan apa juga corak politik mereka termasuklah mengamalkan politik ‘menangguk di air keruh’ kerana akhirnya seperti mana kata Ikmal Hisham, rakyat pasti akan menyedari bahawa pembangkang hanyalah saudagar mimpi, pedagang janji dan penjual ilusi.

1 comment:

  1. Lol Najib, why don't u tell us where MH370 is...*literally laughing my ass off*

    ReplyDelete